![]() |
GLAM PERSONALITI | |
| REDZUAWAN ISMAIL | ||
| May 2006 | GLAM SEMPAT MENJENGAH CHEF WAN DI "PENTHOUSE'NYA BERCERITA MENGENAI KESIBUKANNYA SEBAGAI "CHAIR PERSON" DI ASIA UNTUK GOURMAND-WORLD COOKBOOKS AWARDS YANG DIADAKAN DI KUALA LUMPUR. IKUTI JUGA KISAHNYA MENGENDALIKAN "TALK SHOW" SENDIRI BERSAMA CHANNEL 9. | |
![]() |
Banyak yang hendak diceritakan mengenai Redzuawan Ismail atau dikenali Chef wan. Terlalu banyak. Setiap kali bertemu, Wan membawa khabar baru. Di dada media juga terhampar berita terkini mengenai dirinya. Dalam sibuk terbang ke sana sini, Wan sempat disambar menjadi jurucakap pelbagai produk, melancarkan buku masak dan terkini dia sibuk dengan Gourmand – World Cookbook Awards yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur pada 17 Mei. Dan ketika rancak menguruskan persiapan acara berprestij anugerah tersebut, Wan rupa-rupanya sempat mengendalikan rancangan ‘talk show’ sendiri, Usik-Usik Chef Wan bersama stesyen TV Channel 9. Dan lebih membanggakan September lalu, dia dipilih menjadi Resident Chef dan Premier Star Asia Food Channel, program masakan 24 jam yang berpusat di Hong Kong. Dia ibarat 'man behind Asia Food Channel'. Tuah Wan tidak hanya menyilau di tanah air tetapi aura tukang masak ini sudah menyebar merentasi dunia global. Saya angkat topi, tabik dengan kejayaan insan bernama Redzuawan Ismail. Sebagaimanana mulut becoknya seperti bertih goreng, mindanya turut ligat berputar. Chef Wan lambang Malaysia boleh. Oh sememangnya dia serba boleh. Dia bukan sahaja menjadi ikon memasak membuat beribu-ribu program masakan tetapi pelakon, penghibur, motivator, penulis, ahli perniagaan berjaya dan juga bapa dua anak berbakat besar.
Setelah tertunda-tunda, dapat juga saya berbual panjang dengan selebriti chef ini di ‘penthouse’nya di Ampang. Petang itu Wan yang segak mengenakan kemeja putih Jean Paul Gaultier dipadankan jeans, ghairah bercerita mengenai World Cookbook Awards dan aspirasi mahu ‘menjual’ Malaysia lewat dunia gourmet. Sesekali bicara serius dipecahkan deraian tawa kami (saya dan jurugambar Bustaman) apabila Wan berlucu. Saya sebenarnya tidak pernah jemu-jemu mendengar celotehnya bahkan sentiasa kagum dengan kebijaksanaannya merangka dan memeta perjalanan kerjayanya. PERJALANAN MANIS LEBIH 15 TAHUN “Alhamdullilah. Syukur sebesar-besarnya pada Allah SWT. Setelah lebih 15 tahun meniti kerjaya ini, Wan berbangga dengan pencapaian diri dan rezeki Tuhan beri. Bakat yang Allah kurniakan dan kerja keras selama ini, membawa Wan ke tahap ini,” kata Wan sambil mengangkat tinggi tangan menadah doa. Tambahnya lagi, turning point yang dilakukan lebih 15 tahun, menukar haluan seorang akauntan menjadi chef satu tindakan tepat. Meski awalnya bimbang tindakannya mengguris hati ayahanda tetapi dia tidak mahu menipu dirinya lebih lama. Menyarung sut korporat tidak lagi membahagiakan dirinya. Dia mahu menjejaki impiannya. “I followed my dream and my passion. I was an accountant before but than my passion was cooking o then I said no, no at one point in time. I had to change my career and do something that I love and that is going to be food,” begitu yang dituturkan Wan pada Lorraine Hahn dalam bual bicara TalkAsia, CNN yang ke udara dua tahun lepas. (Ini bukti ketokohan Wan kerana hanya pemimpin dan mereka yang bernama besar sahaja diundang untuk bual bicara ini). Sejak itu Chef Wan tidak menoleh ke belakang lagi. Dia tidak mahu berlengah dengan masa. Setiap hari, siang malam dia ligat berfikir bagaimana memajukan diri, mengangkat martabat kerjaya tukang masak dan lebih mulia mahu ’menjual’ Malaysia lewat dunianya. TUAN RUMAH WORLD COOKBOOK AWARDS Impian Wan kini terlaksana. Jerih perihnya berbayar. Dia kini menjadi duta masakan mewakili negaranya. Hari ini popularitinya sudah tersebar ke serata pelosok Asia dan juga di Eropah dan Amerika. Kata Wan, sudah ada peminat program masakan menegurnya di Hong Kong dan Thailand. Ramai memuji seronok mendengar celotehnya kala memasak. Atas kehebatan Wan, Gourmand (World Cookbook Awards) memilih Malaysia menjadi tuan rumah anugerah tersebut. Mereka kata Wan multi talented. So they decided to put me as the chair person in Asia. Mulanya takut nak terima. Wan rasa benda ini besar. Tak terbayang rasanya nak mempengerusikan satu dunia. Kemudian ada suara berkata, hei, dalam dunia ini apakah aku tidak pernah mencabar diri sendiri? So, I took the challenge. Alhamdulilah Wan sudah mendapat persetujuan Perdana Menteri kita, Menteri Perbadanan Perlancongan Malaysia dan sudah berbincang dengan semua badan terbabit. Gourmand ini kita adakan di Putrajaya. Malam anugerah kita buat di tepi Tasik Putrajaya dan Wan mahu semua tetamu datang dalam pakaian tradisional masing-masing. Bayangkan mesti cantik kalau kita dapat melihat semua pakaian-pakaian tradisi dunia. Tetamu malam itu pun bukan calang-calang orang. Kita ada crème de la crème dunia Gourmet. Kita undang Martha Stewart, Jamie Oliver dan banyak lagi nama besar lainnya. Malam itu juga kita keluar award berprestij. Kita beri pada individu yang berjaya menaikkan nama Malaysia di luar Negara. Malaysia juga akan lebih dikenali kerana kita ada editor, wartawan-wartawan antarabangsa yang membuat liputan juga yang dicalonkan untuk anugerah bagi kategori berbeza. Jadi ini masanya kita tunjukkan pada dunia bahawa kita orang yang bertaraf antarabangsa. Di festival ini juga kita sudah aturkan beberapa seminar dan merangka pelbagai program menarik bagi membolehkan tetamu mengenali budaya kita dengan lebih dekat,” cerita Wan dengan semangat berkobar-kobar mengenai majlis gourmet bertaraf dunia yang bakal berlangsung di Malayisa. Selepas Gourmand, Wan terbang pula ke Vancouver untuk Eat Festival. Dia ke sana atas tajaan Perbanan Perlancongan Malaysia dan MAS, sebagai duta masakan Malaysia. Di sana katanya dia diundang memasak di kaca TV Kanada dan beberapa media yang lain. Sebelum itu dia turut bersama di World Gourmet Singapura. Kata Wan di Singapura dia memasak dan kutipan diberikan pada masjid Singapura. Selepas Vancouver, Wan dijemput ke Abu Dhabi untuk membuat persembahan masakan istana di hotel tujuh bintang, Emirate Palace. ENSIKLOPEDIA MASAKAN MELAYU Chef Wan barangkali tidak kenal erti penat. Usia 47, dia masih gagah bertenaga, ceria dan awet muda. Di selak-selak jadual hariannya yang ketat itu, Wan tetap terus menulis buku masak. Selain menghasilkan buku resepi‚ ' best seller’ Wan kini menyusun manuskrip ensiklopedia masakan Melayu. Dia mahu mencatat evolusi makanan kita, bagaimana ia berkembang dan ditulari pengaruh Jawa, Minangkabau, Siam, Portugis, Cina, India sehinggalah terciptanya masakan baba-nyonya. “Wan mahu generasi akan datang tahu bagaimana makanan kita berkembang. Orang India yang datang sebagai buruh, Cina sebagai pelombong membawa sekali budaya pemakanan. Yang menariknya makanan tersebut berkembang bercampur dengan masakan setempat. Bayangkan masakan Cina di Malaysia lebih kaya dari negara China sendiri. Macam juga kita ada mi Bandung sedangkan kalau kita ke Bandung kita tidak jumpa pun makanan tersebut. Selain itu Wan hendak beritahu, orang kita bijak menggunakan bahan makanan dari persekitaran. Orang dulu-dulu guna akar kayu bila diketuk berbau seperti bawang putih. Mereka juga memasak di dalam buluh. Selain itu Wan suka bercakap mengenai keseronokan serta masakan yang memikat. Enticement and excitement of food. Topik ini Wan pilih untuk berucap di seminar antarabangsa World Airline’s Food and Catering,” Chef Wan semakin seronok bercerita perihal projek bukunya. Selain ensiklopedia, Chef Wan juga mahu menulis masakan halal Cina dan buku seni jamu selera. Ia berkenaan persiapan serta menu pelbagai acara majlis dan kunduri-kendara. Wan juga akan menghasilkan buku mengenai etika meja makan, cara menyusun pinggan mangkuk, mengenai linen dan China ware. |
|